Semasa

Bayi yang menghidap penyakit kerosakan hati meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur

PORT DICKSON – Seorang bayi lelaki, Maayish Khalish Mohd. Amirul Nizal yang menghidap penyakit kerosakan hati ‘Biluary Atresia’ meninggal dunia petang kelmarin ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Maayish Khalish meninggal dunia pada pukul 6.50 petang di pangkuan ibunya, Siti Norsolehana Selamat, 25, dan suami yang kebetulan berada di HKL untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi menjadi pen­derma hati kepada anaknya itu.

“Saya sudah hubungi doktor dan mereka maklumkan anak kami sekarang ditahan di wad ICU kerana dalam keadaan kritikal.

“Bayangkan bagaimana saya dan isteri menerima berita ini sedangkan kami tidak dapat melihat dan menjaganya di HKL,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bandar Springhill di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Amirul Nizal, pihak doktor memaklumkan Maayish Khalish mengalami ­penyakit kegagalan fungsi organ hati (Billiary Atresia) sejak berusia sebulan.

“Dalam tempoh itu, dia sering sakit dan kerap muntah sebelum kami mendapat tahu dia menghidap penyakit berkaitan hati dan perlu melakukan pembedahan pe­mindahan hati secepat mungkin.

“Kami difahamkan, untuk me­lakukan pembedahan permindahan hati, ia perlu keizinan pen­derma yang bersesuaian tetapi perlu menunggu slot kekosongan jika dilakukan di HKL kerana kos yang tinggi.

“Bagi hospital swasta pula, anggaran kos adalah sebanyak RM150,000,” katanya.

Mohd. Amirul Nizal yang be­kerja di sebuah kilang di Bandar Sri Sendayan berkata, dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, agak mustahil untuk dia menyediakan wang sebanyak itu bagi tujuan pembedahan.

“Memang kalau diikutkan hati, saya mahu putera sulung kami, Maayish Khalish menerima rawatan terbaik, tetapi apakan daya, saya berharap agar orang ramai dapat membantu kami agar pembedahan segera dapat dilakukan.

“Penderma hati tidak ada masalah kerana isteri saya sendiri sanggup melakukannya cuma perlu melepasi pelbagai prosedur pemeriksaan mengikut kesesuaian dengan anak kami,” katanya.

Sumber Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *