Semasa

“Banyak kali dah pesan jgn mandi pantai..” Jumpa Mayat Celah Batu, Qhalisya Maut Lemas di Pantai Tanjung

KOTA TINGGI: “Hari jadi saya kali ini akan saya ingat sampai mati. Saya sedih sangat… ingatkan saya yang akan pergi dulu. Namun, saya tetap reda. Dia pergi pada Jumaat,” kata Radiah Rahmad, 42, dengan nada sayu.

RAKAMAN PENUH ADA DI BAWAH SEKALI

Beliau adalah ibu kepada Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, yang ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika bermandi-manda bersama lima rakan pada pagi tadi di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, di sini.

“Kami memang rapat. Arwah ada sawan yang selalunya berlaku waktu malam, jadi memang dia tidur dengan saya setiap malam. Pergi mana-mana pun, dia dengan saya. Semalam, dia minta gunting rambut, justeru saya sudah guntingkan rambut dia,” katanya.

Terdahulu, katanya, beliau mengejutkan Nurish Qhalisya kira-kira jam 5 pagi dan melihat anaknya itu kelam-kabut bersiap untuk keluar.

Pada malam sebelumnya, Radiah berkata, arwah meminta izin untuk ke Tanjung Balau dan beliau telah berpesan jangan mandi pantai kerana mangsa tidak pandai berenang.

“Dia minta izin ke Tanjung Balau bersama kawan-kawan sebab bosan duduk di rumah. Saya pesan jangan mandi pantai. Dia kata pergi hendak bergambar saja, sebab itu saya izinkan,” katanya.

Bapa mangsa, Suhailizam Mohd Onir, 47, berkata beliau mula berasa tidak sedap hati ketika menghantar Nurish Qhalisya ke rumah kawannya pada jam 7.30 pagi apabila mangsa tidak menjawab bila mahu pulang.

“Saya tanya dia nak balik macam mana, pukul berapa. Dia cuma jawab ‘tak tahu lagi balik’. Masa anak cakap macam itu, saya terasa tidak sedap hati. Kemudian ketika baru hendak berehat di rumah, isteri mendapat berita macam ini (kejadian menimpa mangsa),” katanya.

Insiden menimpa enam sekawan itu turut menyebabkan dua beradik, Mohd Asyraf Syazwan Mohd Fairuz, 7, serta Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan sedang dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kota Tinggi (HKT).

Tiga lagi rakan mangsa, iaitu Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari yang kesemuanya berusia 13 tahun bagaimanapun dilaporkan terselamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakan ke pantai terbabit untuk beriadah dan bermandi-manda.

Sambil menjelaskan kesemua mereka dikatakan sudah mendapat izin daripada ahli keluarga, beliau berkata ketika kejadian, cuaca mendung dan air tenang tetapi dipercayai sedang mula surut.

“Mayat mangsa dijumpai tersangkut di celah batuan. Untuk makluman, lokasi kejadian itu terdapat kawasan berbatu. Mayat mangsa telah dicam oleh ahli keluarga dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi bedah siasat. Susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat dihentikan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sumber BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *