Semasa

Hampir tiga minggu ejen kosmetik dilarikan ke negara seberang, Azi akhirnya berjaya ditemukan

Kuala Lumpur: Ejen jualan kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, Kelantan, pada 13 September lalu, berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, wanita terbabit diselamatkan di Thailand dan sudah dibawa pulang ke Malaysia, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Acryl berkata, PDRM menzahirkan penghargaan kepada Polis Thailand dan Kedutaan Malaysia di negara itu atas kerjasama serta bantuan dalam usaha dilaksanakan bagi menyelamatkan mangsa culik.

Beliau juga menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Dalam kejadian jam 5.10 petang pada 13 September lalu, mangsa berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan .

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu, polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

Sumber HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *