Semasa

Angkara cemburu, suami simbah lsteri dan bayi dengan minyak panas

Gambar Sekadar Hiasan

Melaka: Akibat cemburu, seorang lelaki bertindak ‘gila’ dengan menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah, ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku jam 5.50 petang di Semabok Dalam, Semabok, dekat sini.

Lim berkata, mangsa yang juga suri rumah mengalami kesan lecur di paha kiri manakala bayinya turut melecur pada belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki sebelah kiri dan kanan.

“Suspek bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Borong Batu Berendam dan pasangan itu mempunyai tiga lagi anak berusia antara dua hingga enam tahun.

“Dia ditahan selepas polis menerima maklumat kejadian dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Terdahulu kejadian berkenaan dikongsi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Facebooknya semalam.

Dalam catatannya itu, beliau melahirkan rasa kecewa kerana tindakan di luar batasan si suami menyebabkan anaknya menjadi mangsa.

Sumber Harian Metro, Facebook Mohd Noor Helmy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *