SEORANG pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dengan lapan sebatan kerana mencederakan ahli keluarganya dengan parang.
Tertuduh Mohd Hadi Hashim, 38, mengaku bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor pada Selasa.
Kronologi
Mengikut fakta kes, Mohd Hadi terlebih dahulu menyerang ibu mentuanya Puasa Yasik yang berusia 57 tahun.
Apabila wanita warga emas itu berjaya melepaskan diri daripada cengkamannya, Mohd Hadi mengambil parang sepanjang 79 sentimeter (sm) berhampiran sinki dapur dan menetaknya di kepala dan lengan.
Susulan kekecohan itu, kakak iparnya Norwadiha Rosli, 32, keluar dari bilik tidurnya untuk membantu ibunya dan akhirnya ditetak di kepala oleh tertuduh.
Tertuduh turut didakwa memukul kepala dan leher adik iparnya berusia yang 16 tahun menggunakan parang sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri apabila remaja lelaki itu cuba mendapatkan bantuan menggunakan telefon bimbit di ruang tamu.
Mohd Hadi kemudian pergi ke bilik tidurnya dan menetak isterinya Norwahida Rosli, 32, di kepala ketika dia cuba bersembunyi daripadanya.
Selepas itu, tertuduh melarikan diri dengan menaiki kereta Honda Accord sebelum jiran di hadapan rumah mereka menghubungi polis.
Dia kemudiannya ditahan pada 12.30 tengah hari 20 April lalu di Jalan Persiaran Indahpura 4, Kulai.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi manakala Mohd Hadi diwakili peguam Nurshuhadah Mahzan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – The Star.