Semasa

“Abg dah mninggal dunia..” Wanita yg Menerima Kecaman Gara² Makan Megi di Pagi Syawal Akhirnya Merayu Hentikan

KUALA SELANGOR – Wanita yang tular menjamah mi segera bersama suami dan anak-anaknya pada pagi raya pertama Aidilfitri meminta pengguna media sosial menghentikan segala kecaman dan cemuhan terhadap mereka sekeluarga.

Norazizah Chon, 48, berkata, tohmahan dilemparkan netizen berhubung isu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu itu hanya mengundang tekanan emosi dan membebankan fikiran mereka lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri ini.

Katanya, lebih menyedihkan apabila kecaman itu berlaku selepas abangnya, Mohd Helni Chon, 66, baharu sahaja meninggal dunia pada Isnin lalu.

“Saya harap netizen faham dalam situasi saya masih bersedih selepas kehilangan abang, timbul pula isu tular ini yang sudah tentu memberi tekanan kepada kami sekeluarga,” ujarnya.

Justeru tegasnya, mana-mana pihak yang memuat naik isu itu dan perkongsian di media sosial dengan niat mencemuh dan fitnah diminta memadam semula status terbabit.

Katanya, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dilakukan sekiranya masih terdapat individu berterusan mengecam dan memfitnah di media sosial.

“Saya sudah berbincang bersama keluarga dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memanipulasi cerita terbabit,” jelasnya.

Sinar Harian pada 5 Mei lalu melaporkan, enam beranak menjamah mi segera pada 1 Syawal lalu berikutan Aidilfitri disambut sehari awal pada Isnin.

“Kali pertama dalam sejarah kami sekeluarga berkumpul untuk menjamah mi segera sebaik sahaja selesai solat sunat Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian.

“Sebenarnya perasaan teruja tahun ini hendak sambut Aidilfitri, lebih-lebih lagi sudah dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri akibat pandemik Covid-19.

“Saya memang ada niat hendak bertukar-tukar juadah dengan jiran, tapi semua rancangan ini tak kesampaian,” katanya.

Anaknya, Farhatun Najiha Zainal Abidin, 38, berkata, segala penyediaan bahan juadah Aidilfitri sudah disediakan, tetapi tidak sempat membeli barangan basah.

Katanya, segala hidangan itu dirancang untuk dimasak bersama adik beradik lain di sebuah inap desa di Sekinchan pada pagi Selasa.

Norazizah berkata, perancangan awal membeli barangan basah seperti daging dan ayam pada pagi Isnin, namun segalanya berubah apabila pengumuman Aidilfitri sehari awal.

Katanya, pada mulanya dia bercadang menyediakan menu kari daging, rendang ayam dan lontong selain berkongsi juadah bersama jiran tetangga bagi menyambut lebaran pada tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *