Semasa

Sesak Nafas Selepas Sarapan, bekas Anggota Rabbani Azizan Halid Mninggal Dunia

BEKAS anggota kumpulan Rabbani, Azizan Halid, 46, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), jam 10 pagi.

Berita pemergiannya itu disahkan Ketua Kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz ketika dihubungi BH Online.

Azadan berkata, setakat ini, punca kematian arwah Azizan masih belum diketahui kerana perlu melalui prosedur bedah siasat.

“Arwah Azizan rebah selepas mengadu sesak nafas ketika bersarapan pagi di rumahnya di Pantai Dalam, kira-kira jam 8.30 pagi.

“Setahu saya, arwah tidak menghidap sebarang penyakit kronik, tetapi diserang demam sejak seminggu lalu.

Arwah ke klinik untuk mendapatkan rawatan, namun selepas dimasukkan air, doktor memintanya pulang.

“Bimbang demam tidak kebah, arwah kemudiannya pergi semula ke klinik pada keesokannya untuk menjalankan ujian calitan COVlD-19 dan dipakaikan gelang merah jambu,” katanya.

Azadan berkata, keputusan ujian COVlD-19 sepatutnya keluar hari ini atau esok. Namun, arwah mengalami sesak nafas dan terus rebah selepas bersarapan.

“Setakat hari ini, punca kematian arwah masih belum diketahui dan majlis pengebumian hanya akan dilakukan selepas keputusan bedah siasat keluar.

“Sekiranya arwah didapati positif, hospital akan menguruskan pengebumian, tetapi sekiranya negatif, barulah keluarga diberi kebenaran untuk menguruskan jenazah,” kata Azadan.

Allahyarham Azizan menyertai Rabbani antara 1997 hingga 2001 sebagai pemain perkusi. Azizan meninggalkan isteri dan seorang cahaya mata.

Namun, apa yang menyedihkan, kata Azadan, isteri dan anaknya kini sedang menjalani proses kuarantin kendiri di kediaman.

“Isteri arwah berasal dari Indonesia dan tinggal sebatang kara di Malaysia. Jadi, mungkin teman rapat arwah daripada kumpulan Anak Soleh akan menguruskan urusan pengebumian.

“Arwah bersama Rabbani tidak lama ketika sedang meletup dengan lagu Intifada. Arwah mengambil keputusan meninggalkan kami kerana ingin meneruskan minat sebagai pelakon teater.

“Namun, arwah seorang yang baik dan cukup disenangi kerana sikapnya suka berlawak. Pemergian arwah tetap menjadi satu kehilangan buat Rabbani,” katanya.

Allahyarham dijangka akan dikebumikan di kampung halaman di Behrang, Perak.

Sumber Kosmo, Artikel disiarkan pada 8 Julai 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published.